0

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Jika individu atau anda sendiri mengalami kemurungan tahap serius, mudah marah, bersedih dan selalu menyendiri dinasihatkan supaya segera menjalani pemeriksaan kaunseling.

Beberapa kes sadis yang dilaporkan kebelakangan ini, antaranya membabitkan penderaan, pembunuhan dan bunuh diri, dikaitkan para pakar kaunseling dan psikiatri, sebagai mereka yang mengalami tekanan jiwa akibat kegagalan mengawal kemurungan di peringkat awal.

Pakar Psikiatri Klinikal Hospital Pantai, Datuk Dr Mat Saad Baki berkata rawatan atau kaunseling awal dilihat dapat membendung kejadian yang tidak diingini.

"Jika seseorang itu tertekan dan mengalami kemurungan dia perlu merujuk kepada doktor perubatan bagi mendapatkan khidmat nasihat seorang pakar psikiatri dan kaunseling serta mendapatkan rawatan perubatan yang bersesuaian jika ia diperlukan.

"Tahap kemurungan seseorang itu bergantung kepada empunya diri dalam mengawal emosi dan perasaan, jika kemurungan melampau boleh menyebabkan individu hilang pertimbangan diri dan akhirnya berlaku sesuatu yang tidak diduga," katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Kanan di Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata masalah tekanan jiwa boleh dibendung daripada menjadi lebih parah, sekiranya orang ramai mampu mengenali petanda awal seseorang individu itu mengalami tekanan jiwa melalui karakter mereka.

Katanya, rakan-rakan serta ahli keluarga terdekat perlu melihat perubahan dalam kelakuan mereka.

"Contohnya, sebelum ini seseorang itu bersikap tenang, namun berubah menjadi pemarah serta pergaulan mereka yang membawa ke arah kemurungan yang dikategorikan pada tahap yang lebih serius.

"Cara terbaik adalah untuk bertanya individu itu dan menjadi lebih ingin tahu serta berbincang dengan mereka," katanya.

Beliau berkata masyarakat perlu lebih sensitif dan memujuk mereka untuk menjelaskan masalah atau tekanan yang tidak dapat diselesaikan (sekiranya ditangani berseorangan), serta perlu bertanyakan kepada orang lain untuk mendapatkan bantuan mahupun pandangan.

Katanya, mereka perlu mendapat bantuan dan rawatan awal dan mengelak daripada memiliki perasaan malu, lemah dan merisaukan persepsi awam sebelum masalah itu menghantui pemikiran mereka.

"Cuba yakinkan individu itu untuk membantu menyelesaikan masalah yang dipendam dengan membawa mereka berjumpa dengan pakar yang bersesuaian," katanya.

Beberapa kejadian sadis dikaitan dengan masalah tekanan jiwa, antaranya pada 30 Jan lepas, seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental, mengelar mati anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dan mencederakan dua lagi anak perempuannya di rumah mereka di Seksyen 4 Bandar Baru Bangi.

  1. Pada 28 Mac 2013, seorang lelaki ditemui mati tergantung di sebuah rumah di Kampung Perting, Bentong dipercayai mengalami tekanan jiwa selepas kematian ibunya empat tahun lepas.
  2. Pada 2 Feb 2012, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun mati akibat ditekup dengan bantal oleh neneknya berusia 57 tahun dipercayai sakit mental di pangsapuri mereka di Puchong.
  3. Pada 27 Nov 2011, seorang ibu berusia 75 tahun mati selepas lehernya dikelar dengan pisau oleh anak perempuannya yang dipercayai mengalami tekanan mental di rumah mereka di Taman Bukit Serdang.

-- BERNAMA

Post a Comment Blogger Disqus

 
Top