Kemudian barulah Allah menciptakan Nabi Adam A.S. Sebagaimana firman Allah di dalam surah Al-Hijr:
Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya."Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud kepadanya.(Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali,Melainkan Iblis; ia enggan turut bersama mereka yang sujud.
(Al-Hijr: 28-31)
Jelaslah dengan kerangan ayat ini bahawa iblis itu wujud dan diciptakan sebelum kejadian Nabi Adam A.S kerana dia diperintahkan sujud setelah Nabi Adam A.S dimasukkan roh. Perintah sujud ini membuktikan bahawa iblis itu sudah ada jika tidak bagaimana mungkin Allah memerintahkannya sujud. Namun demikian iblis tidak mahu sujud kepada Nabi Adam A.S kerana merasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam A.S.
PERINTAH SUJUD, KEANGKUHAN DAN SEBAB-SEBAB KEINGKARAN IBLIS
Daripada keterangan ayat itu juga, sudah pastilah kejadian NabiAdam A.S itu selepas Allah menciptakan iblis. Oleh kerana itulah setelah penyempurnaan ciptaan Nabi Adam A.S Allah memerintahkan supaya malaikat dan iblis tunduk dengan bersujud sebagai tanda hormat kepada Nabi Adam A.S bukan bermaksud menyembah kepadanya.
Namun demikian Iblis ingkar kepada perintah Allah melainkan malaikat. Malaikat adalah makhluk Allah juga akan tetapi sifatnya berlainan dengan sifat iblis. Malaikat adalah makhluk yang taat dan tidak pernah menderhaka kepada Allah. Sedangkan iblis digambarkan sebagai makhluk yang angkuh, sombong dan biadap terhadap Allah.
Keengganan dan keingkaran iblis yang melanggar dan menderhaka kepada Allah jelas menunjukkan bahawa dia (iblis) mempunyai sifat takbur, bongkak, sombong dan angkuh dengan kejadiannya. Sedangkan Allah tidak menegaskan bahawa dia adalah sebaik-baik kejadian. Sebaliknya Allah menegaskan bahawa manusia dijadikan dengan sebaik-baik ciptaan. Sifatnya amat berbeza sekali dengan malaikat. Dia merasakan bahawa kejadiannya lebih baik dan lebih mulia daripada kejadian Nabi Adam A.S. Sebagaimana yang ditegaskan di dalam Al-Quran.
Firman Allah SWT:
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).
(At-Tin: 4)
Firman Allah SWT:
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud. Allah berfirman: "Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?" Iblis menjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah."Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina."Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)". Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu)".Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; "Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya;
(Al-A'raf: 11-18)