Firman Allah SWT :-



"Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia (Adam) daripada tanah liat yang kering (yang berasal) dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) daripada api yang sangat panas."
(Al-Hijr: 26-27)



BERDASARKAN kepada keterangan ayat di atas jelaslah kepada kita bahawa kejadian dan kewujudan jin, iblis dan syaitan itu memang benar sebagaimana wujudnya manusia yang berasal daripada Nabi Adam A.S dan diciptakan daripada tanah.



HAKIKAT DAN KEJADIAN JIN

          Jin itu adalah suatu makhluk Allah yang tidak dapat dipandang dan dilihat oleh manusia disebabkan mereka mempunyai unsur-unsur yang berlainan daripada manusia. Kewujudan dan kejadiannya adalah daripada api. Wujudnya atau adanya di alam maya ini tiada kelihatan bayangan dan tubuhnya sendiri tidak kelihatan. Kehidupannya memang benar berlaku walaupun kita tidak dapat melihat jasadnya. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran:




"Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan Syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman."
(Al-A'raf: 27)


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Malaikat diciptakan daripada cahaya, jin diciptakan daripada nyalaan api sedangkan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah menjadi sifat bagimu."
 (Hadis Riwayat Muslim)


          Kejadian dan kewujudan makhluk di alam maya ini sama ada yang dapat dilihat atau makhluk yang tidak dapat dilihat membuktikan kebijaksanaan Allah dalam setiap kejadian dan ciptaan-Nya.


          Oleh sebab itu, banyak hikmah yang tersirat di sebalik kita tidak dapat melihat jin, syaitan dan iblis kerana sekiranya kita dapat melihat sesuatu yang diluar kemampuan kita seperti dapat melihat rupa dan wajah jin, syaitan dan iblis pasti akan menjadi lemahlah segala sendi-sendi tulang kita untuk menjalani kehidupan di muka bumi ini dengan sempurna kerana sudah tentu bentuk dan rupa mereka yang luarbiasa.Dikatakan bahawa ada di kalangan mereka yang tersangat pendek, ada yang terlalu tinggi, ada yang berwarna merah, hitam dan putih. Dan di dalam kejadian mereka itu ada berbagai bentuk dan rupa yang tidak diketahui melainkan Allah yang Maha Melihat lagi Maha Mengetahui.


          Apabila kita membicarakan tentang persoalan ini, pasti akan timbul berbagai-bagai persoalan seperti apabila Allah memberitakan tentang kejadian jin yang diciptakan daripada api, jadi bagaimanakah dia boleh terbakar ketika dicampakkan ke dalam neraka? Adakah dia akan merasa sakit atau tersiksa sebab dia berasal daripada api juga?


          Jawapan yang paling ringkas mengenai pertanyaan ini adalah dengan membuat perumpamaan tentang kejadian manusia itu sendiri yang mana manusia dijadikan daripada tanah  dan bukan bermakna manusia itu tanah. Begitu jugalah hal keadaannya jin, syaitan dan iblis yang mana merka berasal dan dijadikan daripada api akan tetapi bukan bermakna mereka itu api. Dengan lain perkataan Allah menyifatkan asal kejadiaan mereka daripada api seperti mana Allah menyifatkan asal kejadian manusia itu daripada tanah.


          Manakala bilangan jin itu dikatakan terlalu ramai jika dibandingkan dengan manusia. Ramainya jin jika dibandingkan dengan manusia adalah bilangan manusia satu persepuluh (1/10) daripada bilangan jin. Dan dikatakan juga mereka tidak akan mati sehinggalah hari kiamat kerana mereka membuat permohonan kepada Allah agar mereka tidak dimatikan sebelum tibanya hari kiamat. Berlainan dengan manusia kerana mereka tidak kekal lama di dunia ini dan akan mati.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Allah menjadikan para malaikat, jin dan manusia itu kepada sepuluh bahagian (kadarnya). Kadar bilangan malaikat adalah 9/10 sedangkan kadar jin dan manusia itu hanya 1 bahagian sahaja iaitu 1/10. Dan kemudian daripada satu bahagian yang terakhir dipecahkan pula kepada sepuluh bahagiankecil, 9 bahagian kecil daripadanya adalah bilangan jin manakala satu bahagian lagi adalah manusia."


          Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana menjadikan makhluk ini dalam dua keadaan iaitu:


Pertama: Makhluk yang dapat kita lihat, yang dapat disentuh dan yang berjasad iaitulah anak-anak cucu Adam yang dijadikan oleh Allah daripada tanah yang kemudiannya ditiupkan roh. Makhluk ini dinamakan manusia.


Kedua: Makhluk halus yang tidak dapat kita pandang dan tidak dapat dilihat oleh manusia. Makhluk ini pula terbahagi kepada dua keadaan iaitu:
  • Dijadikan daripada cahaya (nur)- Malaikat
  • Dijadikan daripada api- Jin, Iblis dan Syaitan 

          Sebagaimana yang kita ketahui serta mengakui bahawa manusia itu berasal daripada tanah dan apabila ditiupkan roh ke dalam jasadnya yang terdiri daripada daging, tulang belulang, darah, jantung, hati dan perkara yang berkaitan dengannya, ia dapat bergerak, berfikir dan mampu untuk melakukan sesuatu dengan izin Allah. Dan dikatakan bahawa manusia itu apabila ditiupkan roh, dia akan hidup dalam erti kata sebagai makhluk yang diciptakan.

Firman Allah SWT :-




"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta."


(Al-Mukminun: 12,13 dan 14)



          Begitulah juga keadaannya dengan kejadian jin, iblis dan syaitan. Apabila ditiupkan roh, maka berdayalah mereka berubah kepada suatu keadaan hidup yang mempunyai perimbangan yang tertentu walaupun mereka berasal daripada api.



          Berdasarkan kepada keterangan ringkas yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa selain daripada manusia yang menjadi penghuni dunia ini, terdapat juga makhluk lain yang menjadi penghuni setianya yang terdiri daripada kalangan jin dan keturunannya. Mereka bukan sahaja tinggal di atas bumi malah golongan mereka boleh hidup dan tinggal di dalam air, udara dan di atas awan.



          Sebagai manusia, kita tidak mampu untuk melihatnya melainkan mereka yang dibukakan Allah penglihatan dan dapatlah pula mereka berhubung dan bersahabat pula dengan mereka. Adanya kehidupan di alam ghaib ini bukanlah menjadi perkara yang mustahil bagi Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana untuk mengadakannya.

 
Top