Di dalam beberapa Hadis Sahih diceritakan apabila turun surah An-Nashr (idza jaa anashrullahi wal fath) ada dua perkara penting yang diambil iktibar atau yang dirasakan oleh Rasullah SAW. Pertama, ayat itu menceritakan kemenangan perjuangan baginda setelah menakluki kota Mekah. Yang kedua, baginda merasakan bahawa masa usia baginda hidup di dunia sudah hampir sampai ke penghujung.

   Umar r.a dan beberapa sahabat pernah bermuzakarah mengenai tafsiran surah An-Nashr. Ibnu Abbas penafsir terkenal telah berkata: "Itu adalah ajal Rasulullah SAW yang diberitahukan oleh Allah kepada baginda. Allah berfirman: "Apabila pertolongan Allah telah datang dan terbukanya kota Mekah, itulah tanda ajalmu. Maka bertasbihlah engkau memuji Tuhanmu dan minta ampunlah engkau kepada-Nya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun."

   Adapun tasbih-tasbih Kifarah yang banyak dibaca oleh Rasulullah SAW pada hari-hari tua ketika menunggu ajal, diantaranya ialah:

  • سبحانك ربنا وبحمدك اللحم اغفرلى
   Ertinya:
   "Maha Suci Engkau wahai Tuhan kami, dan pujian bagi Engkau,ya Allah ampunkanlah dosaku."

   Ummul Mukminin Aisyah r.a mengatakan bahawa Rasulullah SAW membaca tasbih tersebut di atas setiap solat sejak turunnya ayat Idza Jaa anashrullahi wal fath.

  • سبحانك اللهم ربنا وبحمدك اللحم اغفرلى
   Ertinya:
   "Maha Suci Engkau, ya Allah ya Tuhanku, dan segala puji bagi Engkau. Ya Allah ampunkanlah aku."

   Ummul Mukminin Aisyah r.a mengatakan bahawa Rasulullah SAW banyak  membaca tasbih tersebut di dalam rukuk dan sujudnya. Ini sebagai apa yang diperintahkan oleh Allah di dalam Al- Quran berkenaan dengan ayat "fasabbih bihamdi rabbika was taghfirh (maka bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu dan minta ampun kepada-Nya." 

   Di dalam riwayat Imam Muslim disebutkan bahawa menjelang kewafatannya, Rasulullah SAW banyak membaca tasbih:

  • سبحانك اللحم وبحمده أستغفرالله وأتوب اليه
   Ertinya:
   "Maha Suci Engkau! Ya Allah, dengan memuji Engkau, aku mohon ampun kepada Engkau dan aku bertaubat kepada Engkau."

   Rasulullah SAW menjelang wafatnya juga banyak membaca tasbih yang berbunyi:

  • سبحان الله وبحمده أستغفر الله وأتوب اليه
   Ertinya:
   "Maha Suci Allah, dan segala puji bagi-Nya. Aku memohon ampun kepada Allah, dan aku bertaubat kepada-Nya."

   Ummul Mukminin Aisyah r.a bertanya kepada baginda, mengapa baginda banyak membaca tasbih tersebut sejak kebelakangan ini. Baginda menjawab bahawa baginda telah diberitahu oleh Allah akan melihat suatu tanda tentang umatnya. Apabila baginda telah melihat tanda tersebut, baginda pun memperbanyak membaca tasbih tersebut.

   Tanda yang dimaksudkan ialah tanda-tanda ajal sudah dekat. Dengan turunnya surah 'Idza jaa anashrullahi wal fath', baginda yakin bahawa itulah tandanya.

   Dalam menjalani sisa-sisa kehidupan harri tua, hendaklah sentiasa berzikir dari masa ke semasa, beristighfar, bertaubat dan memohon ampun kepada Allah. Sentiasa menyesali atas kesilapan di masa lalu serta beristighfar kepada Allah sebanyak-banyaknya. Rasulullah sendiri yang sudah dijamin kedudukannya namun masih beristighfar kepada Allah setiap hari. Abu Hurairah menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Aku meminta ampun di dalam setiap hari sebanyak tujuh puluh kali."

AHMAD MUHAMMAD ABDUL GHAFFAR
PERSEDIAAN MENGHADAPI HARI TUA
 
Top